OGOS 2021

Sarawak Mampu Capai Sasaran Imuniti Kelompok: Abg Jo


LONG SINGUT (Kapit):  Sarawak mampu mencapai imuniti kelompok pada pertengahan Ogos atau September berdasarkan pencapaian pemberian vaksin setakat ini bagi negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Dalam ucapan ringkas kepada penduduk di sini, sebuah perkampungan kaum Kenyah berhampiran perbatasan antara Sarawak dan Kalimantan di Hulu Baleh, beliau yakin Sarawak akan mencapai sasaran tersebut dengan bantuan dan kerjasama semua pihak, termasuk pihak Angkatan Tentera, dan juga sambutan rakyat terhadap program pemberian vaksin di negeri ini.

Beliau amat berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan program pemberian vaksin di Sarawak yang mendahului negeri-negeri lain dalam program tersebut. 

Memetik statistik pemberian vaksin di Bahagian Kapit, beliau berkata bahagian ini telah melebihi sasaran 80 % dengan mencapai 84 % pemberian dos kedua.

Ini merupakan pencapaian yang amat memberansangkan walaupun keadaan di kawasan Kapit amat mencabar dari segi bentuk muka bumi dan taburan penduduk yang berselerak, ujar beliau. 

Program pemberian vaksin di perkampungan tersebut dikendalikan oleh pihak tentera dengan kerjasama pelbagai pihak, khususnya pihak pentadbiran Bahagian Kapit.

Datuk Patinggi Abang Haji Zohari dengan diiringi oleh pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang berkaitan telah mengadakan lawatan singkat ke sini bagi meninjau program pemberian kepada 178 orang penerima di penempatan tersebut.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Professor Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Panglima Medan Timur, Lt.Jen. Dato Mardzuki Muhammad. 

Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari telah diberi taklimat mengenai perkembangan di penempatan tersebut termasuk isu-isu mengenai kemudahan infrastruktur, kerakyatan penduduk dan program pemberian vaksin. 

Beliau telah meluluskan peruntukan untuk membina jalan bersimen, gereja dan dewan bagi perkampungan tersebut.

Sumber dari : Sarawakku